Tuesday, February 26, 2019

Tahun 2019

Bismillah.

Sudah 4 tahun rasanya saya tidak buka dan menulis di sini. Post terakhir saya adalah pada tahun 2015, bayangkan betapa berkurunnya blog ini saya biarkan sejak adanya sosial media yang sangat popular sekarang ini seperti facebook, instagram, dan juga twitter.

Di sana lebih ramai pengikut yang akan mengikuti post atau status. Blog rasanya sudah tidak sehebat dahulu. Penulis lebih banyak menggunakan facebook dan twitter untuk raih populariti.

Cuma bagi yang betul-betul serius dan memang telah menjana pendapatan di blog sahaja kemungkinan masih lagi terbabit dalam blogspot ini.

Rasa nak berleter banyak di sini. Saya akan terus juga update di sini tetapi untuk bercerita hal yang panjang. Jika hal yang pendek boleh sahaja lawati facebook saya, taip sahaja 'Hazrina A.Samad'.

Blog pun sudah update dengan tema yang cantik dan menarik. Cuma hanya bagi yang masih lagi rajin membaca blog akan dapat mengesan perubahan blog ini.

Jika blog ini juga seperti facebook alangkah bagusnya kerana ramai penulis tersohor menggunakan medan blog ini untuk mencerna minda.

Ok, setakat ini sahaja dulu. Nanti saya akan buka semula blog ini bila tiba masa yang sesuai.


Thursday, May 14, 2015

Mimpi

Sedang duduk di kerusi sambil minum milo ais. Tekak masih berasa payau dek batuk dan selsema yang belum sembuh.

"Saya mahu bicara sama kakak." Pembantu rumah yang saya panggil Atun menegur setelah melihat saya hanya mendiamkan diri.

"Apa dia?"

"Selasa malam rabu saya bermimpi budak kecil yang ramai tidur di ruang tamu rumah kakak".

Saya masih diam mendengar.

"Itu mimpi kamu sahaja." Kata saya.

"Iya, cumanya pada saya mimpi itu penuh erti kakak". Dia meneruskan.

"Apa ertinya?" Saya bertanya.

"Kakak akan mendapat rezeki yang banyak". Katanya lagi.

"Bagaimana berlaku pada akak, sedangkan kamu yang bermimpi bukan kakak". Saya mengujinya.

"Iya, betul. Tetapi mimpi itu di rumah kakak". Dia masih mahu menegakkan hujahnya.

Saya senyum dan terus berkata padanya alhamdulillah jika begitu. Namun, rezeki Allah itu ada di mana-mana sahaja asalkan kita berusaha. Mimpi itu kadangkala sekadar memberi peringatan agar kita selalu mendekatkan diri padaNya. Tidak usah terlalu taksub.

Saya akui pembantu rumah saya ini sangat menjaga solatnya.

Titik.

Thursday, April 16, 2015

Coretan awal pagi

Assalammualaikum.

Selamat malam atau selamat pagi. Saya menulis di tapak blog yang putih ini tepat pada pukul 12am. Bagi mereka yang tidur lewat di luar sana sama seperti saya seharusnya sudah di waktu pagi suasana begini. Bagi mereka yang sudah diulit mimpi sudah tentunya masa begini adalah masih terlalu awal.

Ikut masing-masing punya kehidupan yang diwarnai semenjak lahir. Jika kebiasaannya begitu maka begitulah. 

Sebelum saya membuka blog ini dan menulis di dalamnya, saya baru sahaja tamat menyelesaikan pembayaran bil-bil untuk bulan ini. Saya lebih gemar buat  di waktu malam kerana agak santai dan menenangkan tidak perlu kelam kabut.

Semasa membuat transaksi pembayaran bil, pelbagai idea sudah berada di dalam kepala ini untuk dicurahkan di dalam blog. Terlalu banyak sehingga saya rasakan tidak tahu mana satu yang mahu di tulis dahulu dan diceritakan. Tidak sabar mahu membuka Macbook kesayangan untuk log in blog. Maka tercoretlah curahan abjad di atas blog ini.

--------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------
Di saat kita gembira masih ada insan lain yang menderita. Di saat kita senang masih ada insan lain yang susah. Di saat kita tenang masih ada insan lain yang serabut. Jadi nikmat tuhan manakah yang kita mahu dustakan?...

Sepatutnya kita lebih bersyukur dengan apa yang kita miliki sekarang tidak perlu memikirkan apa yang belum kita dapat dan tidak akan dapat. Itu hanya membazir masa. Banyak lagi perkara bermanfaat yang harus kita buat.

Di dalam kita ketawa masih ada insan lain yang menderita sedih. Jadi, tidak perlu kita terlalu berlebihan dalam segala  hal. Bersederhana sahaja sudah cukup baik walaupun kita mempunyai segalanya. Tetapi ingat di dalam mempunyai segalanya pasti ada terselit kekurangan dan kejelikan yang kita tidak sedar. Manusia tidak pernah sempurna walaupun diperbuat daripada kaca marmar yang sangat mahal.

Bersyukurlah. 

Dalam 2 bulan kebelakangan ini banyak kisah tragis yang berlaku akibat kedengkian hasad iri hati yang ada dalam diri. Kes bunuh sudah kerap didengar di dada akhbar dan juga berita jam 8. Apa yang sedang berlaku di dalam dunia kini menjadi perhatian. Ilmu agama di dada sudah terlalu kurang yang mengakibatkan perkara durjana begini mudah berlaku. 

Sangat sedih.

Di manakah perasaan kasih sayang dan belas kasihan sesama insan?...

Sudah terlalu jauh tersasar daripada landasan. Semua mengikut peraturan dan undang-undang sendiri tanpa memikirkan akibat yang mendatang. Kerakusan sudah membuak-buak tanpa sedar.

Insaflah.

Sedih saya membaca berita-berita yang tragis begini melibatkan orang Melayu Islam itu sendiri. Di mana keperihatinan kita? ...

Zaman sekarang tidak boleh terlalu bebas mengikut haluan sendiri. Banyak perkara di luar sana yang kita sudah semakin keliru dan tidak faham. 

Maka seharusnya kita yang kena buat perubahan pada diri sendiri dan tahan diri daripada pergaulan yang terlalu bebas yang akhirnya akan memusnahkan diri sendiri. Jauhkanlah.

Apa jua pun marilah sama-sama kita berdoa agar diri dan keluarga kita dilindungi daripada anasir tidak elok ini.

Wallahua'lam.

Setakat ini dahulu coretan saya. Kita jumpa di lain masa. Mata pun sudah semakin berat. :-)

Bye semua!!!

Wednesday, April 1, 2015

Ragam

Assalammualaikum.

Salam sejahtera kepada pengunjung blog saya semua yang comel lagi manis. :-)

1 April 2015 hari ini seluruh warga Malaysia sibuk memperkatakan tentang GST. Saya tidak perlu lagi menerangkan apa itu GST. Kalau tak tahu sila search internet ye.

Seminggu sebelum bermulanya GST saya sudah mula mendapat kerlipan-kerlipan whatapps yang bertalu-talu tentang GST. Ada yang menyokong, ada yang membantah, tidak kurang juga ada yang menyindir dengan membuat pelbagai ayat, sajak, lagu, serta pantun. Saya hanya membaca whatapps itu sambil tersenyum. 

Itulah ragam manusia yang sangat unik.

Tetapi adakah dengan ragam atau kerenah kita itu akan mengubah GST daripada ada kepada tiada?...

Jawapannya ada pada diri masing-masing mengikut perspektif diri sendiri.

Hari ini baru sahaja saya membeli bubur ayam MarryBrown dan juga Pizza Hut. Saya lihat pada resit yang dikeluarkan memang ada perkataan GST. Kita membeli pun untuk kita sendiri yang makan. Saya tak rasa selama kita membeli makanan-makanan seperti di atas sebelum GST, kita akan lihat resit. Apa yang saya nampak resit akan dibuang begitu sahaja tanpa kita peduli apa pun tentang harga.

Kadangkala penuh tong sampah sampai resit itu terkeluar juga akibat kepenuhan sampah yang ada. Betapa tidak pedulinya kita pada setiap resit pembelian.

Selepas GST diumumkan, ramai yang peduli tentang resit. Ada yang siap berselfie lagi dengan resit pembelian. Betapa mahalnya resit yang ada tertulis GST itu sekarang.

Itulah kerenah kita sebenarnya.

Cuma apa yang saya nampak GST ada ke tiada. Handphone di tangan masing-masing tetap mahal-mahal belaka. 

Apa pun kehidupan tetap perlu diteruskan. Jika nak fikir pasal GST tidak habis-habis, benda lain yang lebih penting yang perlu kita fikirkan akan jadi kucar-kacir.

Selamat ber GST.





Friday, March 6, 2015

Jumaat

Assalammualaikum.

Salam Jumaat. Semoga pelawat blog saya sihat dan ceria sentiasa. :-)

Hari Jumaat adalah penghulu segala hari. Hari yang penuh dengan keredupan, kerahmatan, serta keberkatan. 

Kepada sesiapa yang berjumpa dengan seseorang yang susah hulurkan sedekah walau di mana jua kita berada kerana sedekah itu besar makna dan fadhilatnya.

Seperti biasa pada hari ini saya tiada urusan di luar rumah. Hanya memerhati pekerja memesin rumput yang semakin panjang serta menjalar dengan cepatnya. Harus diracun mungkin. Tetamu homestay akan menyewa pada minggu hadapan.

Tidak bagus jika rumput sudah mahu menjadi semak. Akan menjadi tempat nyamuk membiak dan menjadi tempat binatang lain menghuni.

Juga perlu ditukar signboard homestay kepada yang baru kerana signboard yang lama telah dipunahkan oleh sang vandalisme. Oh, tidak. Di manakah sikap tanggungjawab masyarakat kita sekarang ini? Semua hak orang lain mahu disentuh dan dikacau.

Tetapi saya tiada daya untuk mengawal vandalisme ini terjadi maka perlu juga ditukar signboard itu dengan yang baru. Baru nampak segar dan menyejukkan mata penyewa yang datang. 

Okey, jumpa lain masa. 








Wednesday, February 25, 2015

MacBook Air

Assalammualaikum.

Salam sayang salam ukhwah salam kasih. Semoga hari ini kita masih berada di dalam daerah yang masih aman :-) cuaca yang baik dan juga diberikan kesihatan yang baik berpanjangan. In Shaa Allah.

Hari ini saya menulis dengan menggunakan MacBook Air yang telah lama saya impikan. Baru hari ini juga berkesempatan membuka blog dengan menggunakan enjin baru ini. Sangat smooth dan user friendly. Alhamdulillah sudah memilikinya. Geram juga rasa di hati melihat orang lain menggunakannya. Tidak bermaksud iri hati. Tidak elok untuk kesihatan dalaman ya. :-) Maka dengan itu saya haruslah menabung dahulu untuk mendapatkannya. Jika tidak betul-betul menggunakannya lebih baik beli laptop yang biasa-biasa sahaja. Lebih mudah bagi mereka yang tidak sukakan keserabutan. 

Sangat sukar juga semasa saya mahu membelinya kerana stock cepat habis dan laku.    Daripada Kuala Lumpur sampai ke negeri Kedah saya mencarinya kerana semasa itu saya bercuti bersama keluarga. Kemungkinan ramai peminat apple sekarang ini dan mungkin juga tempat yang saya cari memang tiada centrenya di situ.

Pada minggu berikutnya saya cuba lagi mencarinya kerana MacBook ini hanya boleh dibeli di tempat-tempat tertentu sahaja dan alhamdulillah rezeki pada hari itu dapat membelinya. Itu pun ramai orang di centre apple yang mahu membeli Iphone 6 yang terbaru keluar. Sungguh kaya rupanya orang-orang di Malaysia kerana barang yang sebegitu mahal mampu dimiliki dengan mudah. Ada juga di kalangan pelajar yang membelinya. Sangat beruntung mempunyai keluarga yang berkemampuan dan sangat memahami kehendak anak masing-masing.

Oleh itu, sampai di sini dahulu cerita saya. Lain masa boleh baca lagi tulisan yang akan saya update.

Saya pun dalam keadaan kesihatan yang kurang memuaskan. Selsema bertandang. Doakan saya semoga diberikan kesembuhan dan kesihatan yang baik. 

Semoga juga dipermudahkan segala urusan. Ameen. Senyum selalu dan ceria sentiasa. Lapangkan hati dan fikiran agar kita sama-sama beroleh ketenangan yang berpanjangan. In Shaa Allah.








Thursday, January 8, 2015

Tahun Baru Yang Sedih

Assalammualaikum ...


Salam tahun baru Masihi kepada semua pembaca blog saya yang masih setia membaca tulisan saya. Walaupun saya tidak kerap menulis di blog ini tetapi jangan risau kerana saya tetap akan 'post' tulisan saya di sini. Di mana lagi tempat saya untuk menulis. Selain di dalam microsoft word dan notepad android, di sini jugalah tempat saya menulis sesuatu yang ingin saya kongsikan.

Teringin untuk menulis dan terbit sendiri menjadi sebuah buku yang boleh dipegang dan dibaca oleh orang lain. Tetapi belum mempunyai kekuatan yang penuh dan keyakinan yang tinggi untuk menzahirkan cita-cita itu. 

In Shaa Allah mana tahu suatu hari nanti ianya berhasil. Semuanya perlu bermula dengan usaha dan tekad yang kuat.

Dalam beberapa bulan ini, banyak perkara yang menyedihkan telah berlaku di negara kita. 

Takziah saya ucapkan kepada mangsa tragedi kapal terbang dan juga mangsa banjir di Pantai Timur. Semoga kita semua dilindungi olehNya. Ada hikmah yang tersembunyi di sebalik ujian dan dugaan yang Allah turunkan pada kita semua. Kita hanya hambaNya yang sangat kerdil dan hina. Tetapi mulia disisiNya jika kita sabar dan tabah di atas ujianNya.

Banyak perkara yang mungkin kita sebagai manusia dan hamba lupa tanggungjawab hakiki yang perlu kita lunaskan padaNya. Sehingga Dia yang Maha Pencipta menjentik sedikit untuk menegur di atas perbuatan kita yang melampaui batas. 

Kita sebagai hambaNya tidak boleh dan tidak perlu mempertikaikan mengapa berlaku begini dan begitu. Semuanya berlaku dengan kehendak dan takdirNya. Apa yang perlu kita buat adalah berdoa serta berusaha untuk berubah manjadi muslim dan muslimah yang baik. Jangan sombong diri dan takbur kerana segala yang ada di bumi dan langit adalah milikNya. Kita hanya meminjam sahaja di atas dunia ini.

Mari sama-sama kita berdoa agar pada tahun baru Masihi ini, menjadi tahun yang memberikan hikmah yang baik serta memberikan semangat yang baru pada kita semua. Tidak lupa juga semoga kita perbaiki diri kita. Jalinkan hubungan sesama kita dengan baik dan mesra tanpa mengira darjat keturunan agar kita semua dirahmati dan dilindungi daripada pelbagai perkara buruk serta bencana malapetaka.


Tahun 2019