Saturday, September 28, 2013

Panas! Panas!

Assalammualaikum...

Salam sayang dan salam keceriaan kepada pengunjung blog saya yang masih mengikuti tulisan saya. Selamat berhari minggu juga kepada yang bekerja kerajaan yang mungkin sedang lena diulit mimpi yang indah-indah. Saya pekerja swasta merangkap bekerja sendiri sudah tentunya hari ini adalah hari bekerja untuk saya. Senyum sikit :-).

Setiap hari adalah hari yang penuh semangat untuk saya kerana pagi-pagi lagi saya akan ke rumah baru saya yang sudah siap dibina selama setahun lebih dan menunggu dengan penuh sabar. Melihat pokok-pokok bunga yang baru sahaja saya beli untuk menghiasi sekeliling rumah saya itu sangat menenangkan jiwa. Apatahlagi saya akan menyiramnya bersama suami di waktu petang. Sudah tentu tidak sabar untuk melihat pokok-pokok bunga itu membesar dan bunga yang akan mengembang dengan indah. Senyum lagi :-).

Tetapi dalam ketenangan datang pula satu keserabutan dan kepanasan dalam diri dek kerana satu situasi yang saya rasakan tidak sepatutnya berlaku. Oleh kerana kita ini manusia yang memang dalam setiap diri mempunyai ego yang sangat tinggi dan kesedaran sivik yang masih belum ada di tahap yang maksima maka berlakulah perkara tersebut.

Dua tiga hari lepas, saya memandu dengan agak perlahan dan berada di belakang sebuah kereta untuk pulang ke rumah. Dalam ketenangan saya memandu itu tiba-tiba 'pap' ada benda yang jatuh di atas cermin depan kereta saya. Saya punya terkejut dan besar biji mata saya melihat apakah benda itu. Rupa-rupanya air kotak yang sudah kosong telah dibuang oleh mereka yang berada di dalam kereta di hadapan saya. Panas,panas dan sangat panas hati ini. Nasib baik boleh bersabar lagi kerana mendengar zikir-zikir yang saya pasang di dalam kereta. Mahu sahaja saya memotong kereta itu dan melihat siapakah gerangan mereka (konon-konon nak tunjuk heroin lah..huhuhu). Saya abaikan sahaja niat saya itu kerana risau hal lain pula yang berlaku.

Tolonglah jangan buang sampah di luar cermin kereta semasa kereta sedang berjalan dan berada di tengah jalan. Ini saya membahayakan pemandu yang lain dan boleh mengakibatkan kemalangan kerana sampah yang besar akan melayang dan akan terkena pada kenderaan yang lain. Ini akan menghalang penglihatan pemandu dan kereta mungkin boleh tersasar ke tengah jalan.

Janganlah membuang sampah merata-rata sama ada kecil atau besar. Simpan dahulu sampah di dalam kereta dalam satu plastik. Jika kita tidak mahu kasihan kepada pekerja-pekerja majlis perbandaran, sayangilah bumi kita yang memang sudah sesak dengan sampah sarap. Buanglah di tempat yang betul. Kita juga akan menyumbang kepada kebersihan di dalam  kawasan kita sendiri. Saya juga mengingatkan diri saya juga dalam hal ini. 

Apa yang penting janganlah terlalu mementingkan diri sendiri kerana kita hidup di bumi Allah ini adalah satu perkongsian. Cubit peha kanan sakit juga peha kiri. 


Nukilan hati,
Rina's






Wednesday, September 25, 2013

Galaxy Note II VS Galaxy Note III

Assalammualaikum...

Salam sayang dan salam bahagia kepada pembaca yang sudi menjengah atau singgah ke blog saya. Dunia tiada sempadan memang akan dikaitkan dengan teknologi terkini lagi sensasi yang sudah berlambak di pasaran. Sehingga saya sendiri pun sudah tidak mampu untuk mengikuti perkembangannya yang terlalu cepat.



Hari ini saya membuka lembaran akhbar Berita Harian. Terpampang besar keluaran samsung yang terbaru iaitu GALAXY NOTE III. Sangat besar gedabak dan sangat sesuai kepada mereka yang mahukan keselesaan.

Saya masih lagi menggunakan NOTE II yang saya rasakan pun sudah memadai untuk saya. Tetapi jika ada rezeki dan wang yang lebih tentulah saya juga akan memiliki samsung terkini ini. Asalkan sahaja bayar dengan tunai. Tidak perlu membazir hanya kerana mahukan yang baru tetapi berhutang. :-)

Saya memiliki samsung NOTE II ini pun kerana saya suka mengambil gambar dan juga menyimpan gambar yang memang sudah tentunya mempunya memori yang besar. Sudah cukup untuk saya.

Jika NOTE III memang sudah sememangnya lagi jelas dan terang gambar yang diambil kerana megapixel kameranya sahaja 13.0. Dua kali ganda daripada kamera NOTE II. 

Tetapi pada saya itu bukan juga satu kepuasan kerana android tidak membenarkan saya menulis dengan selesa kerana aplikasinya masih belum meluas. Saya masih lagi menulis dengan menggunakan laptop cabuk saya yang sudah berusia 6 tahun ini. Alhamdulillah masih berfungsi dengan baik dan saya sangat menghargainya.

Mungkin saya menunggu android yang 'mesra penulis' baru saya akan memilikinya. Setakat ini semua android bagus-bagus belaka dan semua aplikasi telah disediakan dengan mutu yang baik. 

Satu lagi saya akan lebih memilih kepada bateri yang tahan lama kerana saya kerap online, mengambil gambar dan membaca dalam talian. Itu adalah hobi saya.


Menulis dengan jiwa,
Rina's






Tuesday, September 24, 2013

PAKWE INSURANS

Assalammualaikum...

Cuaca di Mersing hari ini sungguh cantik. Panas terik pun tidak. Mendung sangat pun tidak. Angin sepoi-sepoi bahasa. 

Seperti biasa saya bekerja hari ini dengan penuh semangat dan tekad. Jika tidak bekerja macam mana pula untuk membayar pinjaman sana-sini yang memang sudah menjadi lumrah dunia jika mahu memiliki sesuatu aset perlu membuat pinjaman. Huh. Sangat rimas dengan ini semua.

Pacuan empat roda saya juga perlu dibayar 'roadtax' setiap tahun dan hari ini adalah hari saya untuk membayarnya. Lazimnya juga insuran wajib dibayar. Itu sudah memang satu keperluan yang tidak boleh diabaikan. Seperti nasi yang perlu berlauk jika mahu makan. Ibaratnya begitu sudah ada kereta perlu ada insurannya.

Ngomel-ngomel pasal insuran, saya menerima satu panggilan yang nombor telefonnya tidak selalu terpampang di telefon saya. Saya angkat seperti biasa. Suara garau seorang lelaki kedengaran. Terkejut juga saya. Rupanya-rupanya seorang penjual insuran. Insuran apa tidak perlu saya bagitahu.

Saya menjawab segala soalannya. Walaupun agak keberatan untuk melayan soalannya tetapi untuk menjaga hati yang dia beria untuk menjual insurannya itu, saya layankan juga.

Mendengar daripada suaranya itu pun saya dapat tahu yang dia juga terpaksa untuk menelefon pelanggannya. Suara yang termengah-mengah untuk menyebut satu-satu polisi insuran. Agak kasihan di situ.

Bukan saya menidakkan keperluan insuran. Tetapi dengan cara seperti memaksa dan berulang kali menelefon itu yang menyebabkan pelanggan  menjadi rimas. Saya faham setiap syarikat insuran mahu meningkatkan jualannya dan pekerjanya juga akan  mendapat komisyen daripada jualan itu.

Memang saya agak gemar membeli insuran tetapi tengok pada produknya dahulu sama ada ianya berguna atau tidak untuk kegunaan kita tatkala kecemasan.

Terima kasih kepada ABANG INSURANS yang begitu komited dengan kerjanya.


Coretan Hati,
Rina's

Tahun 2019